Menjejak Kembali Sejarah Malabari

 Siapakah Malabari 

 

Malabari  juga dikenali sebagai  Muslim Malabar atau dahulunya juga sebagai sebagai  Mappila. Meraka berasal dari bahagian pantai baratdaya India yang pada masa ini dikenali sebagai Negeri Kerala. Kebanyakan dari mereka berasal dari bahagian utara negeri tersebut, satu daerah yang dahulunya dikenali sebagai Malabar . Walau bagaimanapun perkataan ‘Malabari’ itu sendiri sudah tidak digunakan  di negeri tersebut pada masa kini. 

 

 

Kerala dengan kedudukannya yang  stategik di pantai Barat India menggalakkan pengaruh yang berterusan dari negeri Arab dan Barat. Pantai Malabar telah ada hubungan perdagangan Negara Timur Tengah dan Greece dari zaman dahulu lagi. Kodungallur yang pada masa itu dikenali sebagai Muziris merupakan pelabuhan utama Malabar ketika itu. Oleh yang demikian tidaklah menghairankan kalau dikatakan bahawa Islam telah dibawa ke situ oleh pedagang Arab pada masa hayat Nabi Muhammad SAW lagi.

Peta -peta zaman dahulu

 Bermulanya pengaruh Islam di Malabar

 Ahli  sejarah masih belum bersependapat tentang masa sebenar Agama Islam mula sampai ke tanah Malabar. Walau bagaimanapun ramai diantara mereka telah menerima legenda Ceraman Perumal sebagai sebahagian dari sejarah.

 Ceraman Perumal merupakan raja yang terakhir dari Dinasti Perumal yang memerintah Kerala ketika itu. Menurut Kesari A. Balakrishna Pilla  seorang ahli sejarah terkemuka, Raja Ceraman Perumal telah menerima sepucuk surat dari Rasulullah SAW pada tahun Masehi 628, yang menjemput beliau memeluk agama Islam. Raja tersebut kemudian telah mengembara ke Mekah dan memeluk agama Islam di hadapan Rasulullah SAW sendiri. Nama Islam beliau ialah  Tajuddin. Beliau merupakan orang Malabari pertama yang memeluk agama Islam.

 Dalam perjalanan pulang beliau telah meninggal dunia di Shahar Mukhalla di Semenanjung Arab pada tahun 10 Hijrah. Sebelum meninggal, beliau telah mewasiatkan sepucuk surat kepada para pengikutnya  untuk disampaikan kepada pemerintah di Kodungallur, Panthalayani atau  Dhardamadam. Walaubagaimanapun mereka  tidak meneruskan perjalanan ke Kerala pada ketika itu.

 Pada zaman Khalifah Umar (R.A.),  satu kumpalan yang diketuai oleh Malik bin Dinar bersama dengan keluarganya dan 22 orang ulama telah bertolak ke Kerala. Mereka mendarat di Kodunggalur pada tahun Masehi 642-643.

 Masjid Pertama di Malabar 

Sesampainya di sana mereka telah menyampaikan kepada raja di Kodunggalur surat yang ditulis oleh Ceraman Perumal sebelum kematiannya. Raja Kodunngallur bukan sahaja telah menerima mereka dengan baik malah telah membantu mereka dengan menyediakan tempat tinggal, tanah, bahan binaan untuk mendirikan masjid dan juga pembiayaan mengendalikan masjid.

Ini merupakan satu kejayaaan untuk Islam diperingkat permulaannya di Benua India. Kumpulan perintis ini kemudian telah mendirikan beberapa buah lagi masjid di daerah , daerah sekitarnya.

Demikian  agama Islam mula tersebar dan berkembang, berbeza dari perkembangan Islam melalui penaklukan di India Utara. Seterusnya  pada zaman kerajaan Samuthiri, Islam berkembang melalui pindah-masuk, perkahwinan dan dakwah Islam dengan izin dan galakan dari kerajaan Samuthiri sendiri. 

Dinasti Islam pertama di Malabar. 

Ada bukti yang menunjukkan yang anak saudara Cheraman Perumal telah memeluk agama Islam melalui Malik bin Dinar menukar namanya menjadi Muhammad Ali. Beliau ini merupakan Adiraja pertama Dinasti Islam Arakkal di Kanoor , Kerala.

Dinasti Arakkal telah mencetak wang perak diantara tahun 122 – 163 hijrah membuktikan bahawa pengaruh Islam telah berkembang di Malabar dari kurun yang ke tujuh lagi. Dinasti ini telah secara lansung membantu dalam perkembangan Islam di utara Malabar.

Berkembangnya Islam 

Orang Malabari merupakan pelaut yang handal dan dinamik.  Diantara kurun ke 11 dan 16 , sejarah mereka berkait rapat dengan kebangkitan Kerajaan Samuthiridi Calicut dikalangan raja-raja lain di Utara Kerala. Kerjasama diantara mereka telah menguntungkan kedua-dua pihak. Tentera Laut Samuthiri terdiri dari Malabari, dan perdagangan di Laut Arab dikuasai oleh Malabari. Pendapatan Raja Samuthiri yang datangnya dari cukai pelabuhan membolehkan kedua –dua pihak ini memonopoli hasil perdagangan laut. Kerajaan Samuthiri sendiri menggalakan nelayan dan menduduk persisiran pantai yang lain untuk memeluk agama Islam bagi menguatkan tentera lautnya.

  Ada juga laporan bahawa kaum Hindu ynang berkasta rendah lebih suka memeluk agama Islam bukan sahaja disebabkan oleh kekayaan kaum Islam tetapi mereka juga terlepas dari stigma sosial yang dikenakan oleh kaum berkasta tinggi dan mereka diterima dengan senang ke dalam persaudaraan Islam.

 Pusat Perkembangan Islam 

Ponnani, sebuah bandar di Malabar, merupakan pusat pengajian Islam yang termasyhur sejak kurun ke 16, bukan sahaja di India , malah di seluruh dunia. Ramai pelajar, temasuk dari Indonesia dan  Malaya yang menuntut di sana. 

Sheikh Ahmad Zainuddin al-Malbari merupakan seorang pendakwah, ulama dan karyawan Islam yang terkemuka dari Ponnani. Kitab fikah beliau yang berjudul ’Fathul Mu’een’ merupakan satu kitab rujukan yang terkemuka.

 Beliau juga telah mengarang buku yang berjudul “Tuhfathul Mujahidin” yang dianggap sebagai karya sejarah sahih menggambarkan kezaliman Portugis di Malabar.